Wednesday, December 4, 2013

Apa Itu Kaunseling?

Kaunseling adalah satu proses menolong dimana klien, sama ada menerima perkhidmatan kaunseling secara sukarela mahupun dirujuk oleh penyelia masing-masing disebabkan prestasi mereka yang merundum di tempat kerja. Menurut KUKUM, kaunseling merupakan satu proses perhubungan menolong yang sistematik yang berasaskan prinsip psikologi yang dilakukan oleh kaunselor professional bagi menghasilkan perubahan, perkembangan dan penyesuaian peribadi klien yang menyeluruh secara sukarela sepanjang hayat berlandaskan etika kaunseling yang ditetapkan seperti yang telah ditetapkan di dalam Akta Kaunseling 1998. Perkhidmatan kaunseling adalah salah satu cabang psikologi gunaan dimana klien (orang yan ditolong) diperkasakan untuk berdaya tindak terhadap situasi kehidupan, mengurangkan tekanan emosi, melakukan aktiviti pembangunan diri, mempunyai hubungan manusia yang bermakna, dan membuat keputusan yang berkesan (Welfel & Patterson; 2005 dalam Rohany Nasir ;2008).



Personaliti dan pembawakan seorang kaunselor adalah penting dalam melaksanakan tugas dan dalam memberikan perkhidmatan kaunseling yang terbaik kepada klien. Menurut Gibson dan Mitchell (2003) di dalam Sapora Sipon (2009) menjelaskan faktor-faktor membawa kepada keberkesanan kaunseling dan kaunselor bergantung kepada beberapa faktor seperti berikut:

a) Personaliti dan latar belakang kaunselor
b) Pendidikan formal yang diterima oleh kaunselor itu sendiri
c) Kebolehan kaunselor dalam melibatkan diri di dalam aktiviti kaunseling yang bersifat professional seperti pendidikan berterusan, penyeliaan dan perundingan.


Memiliki pendidikan yang formal sahaja tidak cukup dalam melaksanakan tugas sebagai seorang kaunselor. Perwatakan serta personaliti yang dapat menonjolkan keaslian (genuine) memiliki jati diri dapat membantu klien dalam menyelami perasaan dan isu-isu semasa yang dihadapi klien. Tidak dinafikan ada sesetengah kaunselor memilih untuk menonjolkan sesuatu yang bukan daripada personaliti demi memenangi hati klien dengan merekacipta suatu persona di mata klien. Sikap yang ditonjolkan selalunya adalah di dalam bentuk mekanistik (atau a.k.a robotic) ini akhirnya dapat dikesan klien dan akhirnya menyebabkan tertimbulnya perasaan kurang percaya dan syak wasangka akan kredibiliti kaunselor dalam menjaga kebajikan mereka khususnya isu kerahsiaan (confidentiality). Terdapat juga sesetengah pihak yang bergelar kaunselor ini bersikap jauh beza sekali dimana rakan sekerja tidak dihormati sebagaimana yang sepatutnya berbanding dengan sikap penerimaan tanpa syarat yang ditonjolkan di hadapan klien. Jadi mana satu sikap yang betul? Inilah persoalan yang bermain-main di fikiran bukan sahaja klien, malah rakan sekerja yang bekerja disekeliling kaunselor. Sikap tidak konsisten yang telah ditonjolkan inilah yang boleh mengakibatkan kaunselor kehilangan kredibilitinya secara tidak langsung. Dengan ini, penulis menasihatkan para kaunselor untuk mengaplikasikan personaliti mereka sebagai individu yang unik dan terus menerus belajar untuk mengembangkan kemahiran dan potensi diri yang sedia ada di tempat kerja masing-masing baik bersama dengan klien, rakan sekerja mahupun bersama keluarga. Bukanlah niat penulis untuk memburukkan mana-mana pihak, tujuan penulisan artikel ini hanyalah untuk mengingatkan kaunselor supaya melaksanakan tugas dengan integriti dan dengan keaslian yang tersendiri.


Rujukan

Rohany Nasir. (2008). Kaunseling Kerjaya: Anjakan Daripada Konvensionalisme. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia: Bangi, Selangor

Wan Saniah Wan Yahya. (n/d). Apa itu kaunseling? Diambil Pada 11 Jun 2011 http://dspace.unimap.edu.my/dspace/bitstream/123456789/7495/1/Apa%20itu%20kaunsel
ing.pdf.Unit Kaunseling KUKUM: Kuala Lumpur

Sapora Sipon. (2009). Ciri-Ciri Kaunselor Yang Efektif. Diambil Pada 11 Jun 2011 di
http://www.scribd.com/doc/4661564/Ciriciri-kaunselor-yang-efektif.
Universiti Sains Islam Malaysia; Malaysia






No comments:

Post a Comment

Terima kasih banyak kerana sudi meluangkan masa membaca dan memberi komen di dalam blog ini :)

Take care and have a nice day